Din Beramboi meninggal dunia
KUALA LUMPUR 2 April – Pelawak popular dan penyampai radio Era, Mior Ahmad Fuad Mior Badri meninggal dunia di Hospital Selayang, lewat malam tadi.
Allahyarham yang dikenali sebagai Din Beramboi menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) pukul 12.30 malam.
Menurut adik Allahyarham, Rozana Mior Badri, semua ahli keluarga berada di sisi Allahyarham kecuali ayahnya yang tidak dapat hadir.
Katanya, Allahyarham meninggal dunia akibat demam denggi berdarah yang menyebabkan beberapa organ badannya gagal berfungsi.
‘‘Jenazah abang saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong di sini sebelum solat Jumaat,’’ katanya ketika ditemui di hospital itu, malam ini. – Utusan
Al Fatihah untuk Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi dan Takziah untuk keluarga beliau.
—————————————————————————————————————————
Update: 02/04/2010 4.00 pm
Din Beramboi Selamat Dikebumikan
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) — Pelawak dan penyampai radio terkenal Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri yang meninggal dunia awal pagi ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan sebelum solat Jumaat.
Din Beramboi, 43, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi akibat demam denggi berdarah sehingga mengakibatkan hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi.
Jenazah yang dibawa ke rumah ibu mertuanya di Taman Ehsan, Kepong di sini diziarahi kira-kira 2,000 orang sebelum dibawa ke Masjid Al-Fa’izin, Taman Desa Jaya, Kepong kira-kira pukul 10 pagi untuk solat jenazah dan dikebumikan sejurus selepas itu.
Turut kelihatan menziarahi jenazah Allahyarham antaranya ialah rakan rapatnya di stesen Radio Era Aznil Nawawi, pelakon dan pelawak, Bob Lokman, Afdlin Shauki, pelakon Sharifah Shahirah dan suami Zulkifli Azahari atau Ijoi, Fizo Omar, pengarah Aziz M. Osman dan Pengarah Eksekutif Astro Zaini Amirullah.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Suhaini Che Mam, 42, dan tiga anak iaitu Nil Aina Adibah, 18, Mior Ahmad Shafiq, 16, dan Nirain, enam tahun.
Adik perempuannya, Rozana Mior Badri, 39, berkata hampir kesemua ahli keluarga terdekat berada di sisinya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir.
“Hampir semua ahli keluarga berada di sampingnya, kecuali bapa kami yang tak sempat berada di sisi allahyarham kerana perlu berehat atas sebab sakit jantung.
“Bagaimanapun Alhamdulillah arwah pergi dengan aman, tenang dan dengan raut wajah yang tersenyum,” katanya kepada Bernama di Hospital Selayang di sini hari ini.
Allahyarham adalah anak ketiga daripada empat beradik dan merupakan anak lelaki tunggal.
“Beliau adalah insan pertama yang ‘pergi’ dahulu dalam keluarga kami dan kami sedih atas pemergian beliau.
“Dia suka melawak dan ramai orang yang menyenangi dan menyayanginya,” kata Rozana.
Zaini menyifatkan kematian Allahyarham merupakan kehilangan besar bukan sahaja bagi Astro malah seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam bidang komedi.
Beliau berkata satu rancangan khas bagi mengenang jasa Allahyarham akan di siarkan malam ini di saluran Astro.
“Rancangan berbentuk kapsul itu akan disiarkan malam ini di saluran Astro dan sebagai tanda berkabung, kita akan menghentikan program yang melibatkan beliau selama tiga hari,” katanya.
Din Beramboi terkenal kerana gandingannya bersama Aznil dalam slot Riuh Pagi Era di stesen radio Era.
Sambil menyifatkan ia merupakan satu kehilangan besar dalam dunia seni tanah air terutamnya dalam bidang komedi, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad Datuk Seri Farid Ridzuan berkata Allahyarham mampu menghiburkan hati orang yang dalam kesedihan.
“Allahyarham ini seorang yang disenangi dan mengambil berat tentang masalah rakan-rakannya dan tidak pernah melupakan jasa teman-temannya,” kata beliau yang mengenali Din Beramboi sejak 1993.





