Archive for January, 2008
Bekas Mufti Selangor Meninggal Dunia

Bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas hampir 21 jam dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim berkata, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.50 petang akibat pendarahan dalam kepala.
Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul 6 petang semalam. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok.
Allahyarham Dato’ Ishak Baharom dilahirkan pada 1 Januari 1928 di Kampung Batu 22, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Ayahnya Haji Baharom bin Jabar, berasal dari Banjarmasin, Sumatra. Manakala ibunya Hajah Fatimah bt Haji Junid berasal dari Melaka. Beliau mempunyai 5 orang adik-beradik. Allahyarham meninggalkan balu, Datin Khalijah Abdullah serta tiga orang anak.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kanchong Darat dari 1935 – 1941. Semasa pemerintahan Jepun, beliau tidak dapat meneruskan persekolahan selama 2 tahun. Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di di Sekolah Menengah Arab Madrasah Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya melanjutkan pelajaran di Darul Ulum, India.
Jawatan terakhir Allahyarham sebelum dilantik menjadi Mufti Negeri Selangor pada 1985 ialah sebagai Mudir Sekolah Menengah Agama Batu 38, Sabak Bernam.
Bagaimanapun pada 1997, ekoran fatwa yang dikeluarkannya yang menegaskan pertandingan ratu cantik adalah haram, beliau telah dipecat daripada jawatan mufti walaupun perkhidmatannya baru sahaja di sambung.
Selepas pemecatan tersebut, Allahyarham meneruskan perjuangannya dengan turun ke padang sebagai penceramah dan pendakwah bebas.
Allahyarham bergiat serius dalam PAS bermula pada 2003 setelah dilantik menjadi Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS sehingga 2007 (Sumber dari Harakahdaily.net)
Bagi saya kehilangan Allahyarham amat dirasai seluruh umat Islam di negara ini . Walaupun sifat beliau ketika berbicara amat lemah lembut tetapi sangat tegas dalam menegakkan hukum agama. Semoga Allah menucucuri rahmat dan meletakkan beliau di kalangan orang yang bertakwa. Al – Fatihah.
Credit card ohhh credit card….
Di zaman moden ini siapa yang tak tahu pasal credit card… Kalau seseorang itu tak pakai credit card pun sekurang-kurangnya dia tahu bagaimana rupanya credit card atau tahu apa gunanya benda ni. Bila sebut kredit, dalam bahasa mudah kita dah tentu terbayang atau dapat mengagak apa maksudnya… iaitu hutang atau pinjam atau apa-apa yang seumpamanya. Secara amnya pemilik credit card atau kad hutang ini membolehkan pemegang kad tersebut berbelanja di mana-mana tempat yang menerima card credit sebagai satu kaedah pembayaran selain tunai. Jadi kita boleh membeli barangan atau perkhidmatan tanpa mengeluarkan tunai. Jumlah perbelanjaan bergantung pada had yang diperuntukkan oleh pengeluar credit card tersebut.
Credit card sebenarnya telah wujud sejak tahun 50′an lagi apabila Diners Club mengeluarkan credit card kepada ahlinya sebagai satu kemudahan untuk membayar makanan di restoran tanpa menggunakan wang. Sejak dari itu credit card digunakan dengan meluas ke seluruh dunia dan penggunaannya bukan setakat membayar makanan di restoran tetapi meliputi semua jenis barangan dan perkhidmatan. Selain dari Diners muncul jenama creditcard seperti Mastercard, Visa dan banyak lagi. Kesemuanya adalah sama dari segi tujuan untuk memudahkan pengguna berbelanja tanpa tunai. Walaubagaimana pun kita harus faham credit card pada masa ini dikeluarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang mana bekerjasasama dengan syarikat credit card terkemuka Di Malaysia penggunaan kredit telah wujud sekitar tahun 70′an tetapi pada masa itu hanya orang-orang tertentu sahaja yang layak atau yang menggunakan credit card. Ini kerana untuk memohon credit card pemegang kad mestilah mempunyai sejumlah pendapatan yang agak besar. Namun pada awal tahun 90′an tanggapan kredit card hanya untuk golongan berpendapatan besar mula berubah apabila Maybank pada masa itu mengeluarkan Credit card untuk golongan executive muda yang diberinama Execcard. Kalau saya tak silap pendapatan minima sebulan untuk layak memiliki card ini adalah lebih kurang RM800.00 sebulan. Sejak dari itu credit card bukan lagi simbol bagi orang-orang kaya. Walaubagaimana credit card ini tidak dikeluarkan lagi kerana kerajaan pada masa itu mengeluarkan arahan had minima pendapatan perlu ditingkatkan bagi mengelakkan orang ramai mempunyai credit card dengan begitu mudah.
Pada masa ini had minima tahunan untuk memohon adalah RM18000 atau purata RM1500 sebulan. Jumlah ini bukan satu angka yang besar pada masa ini. Rata-rata mereka yang baru bekerja terutama lepasan pengajian tinggi mendapat pendapatan lebih kurang RM1500. Jadi kalau kita tengok sekarang terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah pengguna creditcard di negara kita. Ini ditambah lagi dengan promosi yang agresif dari bank-bank tempatan untuk menarik pelanggan , tak kira samada pengguna yang pertama kali atau pengguna yang memang telah ada credit card. Cuba kita pergi ke mana-mana pusat membeli belah , pasti kita akan terjumpa dengan wakil jualan atau pihak bank yang mempromosikan credit card ditempat-tempat seperti ini.
Cuma sekarang apakah kita perlu kepada credit card. Secara mudah saya boleh katakan ia terpulang kepada individu. Credit card bukanlah satu kewajipan, tetapi ia merupakan satu alternatif kepada pembayaran yang sedia ada. Apa yang menjadi trend pada masa ini credit card dijadikan satu kemudahan untuk pinjaman secara mudah dan cepat kepada pengguna. Dari segi positif memang baik kerana jika kita ingin membeli barang kita tak perlu mengeluarkan tunai dan pebayaran boleh dibuat secara ansuran. Tetapi masalah yang timbul penggunaan credit card tanpa kawalan. Pengguna dengan bebas berbelanja untuk apa yang diinginkan tanpa melihat wang tunai keluar dari poket. Ada kalanya pembelian tersebut tidak diperlukan. Dari segi psikologi pengguna akan “terketar-ketar” atau berfikir beribu kali untuk membeli seuatu barangan kalau dia bayar menggunakan tunai tetapi dengan credit card kita tak nampak wang tunai mengalir…jadi kita dengan senang hati beli barang tanpa memikirkan kesan di kemudian hari.
Sebenarnya tak salah kita memiliki credit card, Sebagaimana yang saya katakan credit card hanyalah alternatif kepada tunai…. Dalam keadaan tertentu penggunaan credit card lebih fleksibel dari menggunakan tunai sebagai cth pembelian barangan secara online. Jadi seharusnya penggunaan credit card mestilah bersandarkan jumlah tunai yang kita ada. Jika kita ada tunai sebanyak RM 100 seharusnya jumlah penggunaan credit card juga seharusnya RM100. Tetapi masalah sekarang kita menggunakan credit card berlebihan. Ini yang mendatangkan masalah terutama dari bila masa pembayaran balik.
Jadi sebelum anda memohon card tanya diri anda dulu:
1. Untuk apa credit card tersebut – adakah suka-suka sebab orang lain pakai anda pun nak pakai atau ia sebagai alternatif kepada tunai bila diperlukan. Diperlukan maksud saya bila penggunaan credit card lebih mudah contoh membeli minyak kenderaan dan sebagainya dan kita mampu membayar balik dalam masa yang ditetapkan. Kalau saja suka-suka bagi saya lupakan dari suka-suka datang pulak duka.
2.Adakah anda seorang yang berdisplin – Ya displin memang penting dalam segala hal. Begitu juga dalam penggunaan card credit..kalau kita tak berdisplin banyak masalah yang timbul dalam penggunaan kredit card. Begitu juga masa pembayaran balik displin dalam membayar balik amat perlu. Sestengah dari kita bukan tidak mampu membayar balik tetapi selalu lalai atau melengah-lengahkan untuk membayar balik akhirnya jumlah hutang bertambah akibat interest yang semakin banyak..
3. Adakah credit card sebagai menghasilkan tunai secara segera. Ini memang banyak terjadi kerana selain digunakan sebagai penganti tunai semasa membeli belah credit card juga boleh mengeluarkan tunai di mana-mana ATM. Jadi kalau anda beranggapan demikian nasihat saya lupakan. Memang saya akui kekadang diwaktu terdesak Credit card adalah penyelamat untuk kita menghasilkan tunai. Sebabnya bukan mudah untuk kita meminjam dari orang lain diwaktu yang singkat tetapi cuba elakkan. Ini kerana kadar interest dari pengeluaran tunai melalui credit card amat tinggi. Kalau terpaksa keluarkan hanya untuk apa yang diperlukan sahaja dan kita mampu membayar balik dalam tempah yang terdekat.
4. Berapa credit card yang anda perlukan – Sesetengah orang kalau kita lihat di dompet mereka terdapat berkeping-keping credit card. Bagi saya sekeping sudah memadai. Bukan apa Walaupun kita tak menggunakan credit card tersebut tetapi dalam setiap tahun kita terpaksa membayar yuran tahunan. Katakan kita mempunyai 4 keping credit card, biasanya yuran tahunan untuk credit card standard dalam RM60.00. Jadi kalau 4 keping bermakna kita terpaksa membayar RM240.00, Jadi kenapa kita buang duit begitu saja. Bagi setengah dari kita penggunaan lebih dari satu kad bertujuan memperbanyakkan jumlah had credit. Ya memang betul lagi banyak kad yang kita ada lagi banyak jumlah keseluruhan kredit yang kita boleh dapat. Tapi apakah kita perlu had credit yag banyak dan yang lebih penting apakah kita mampu bayar balik jumlah yang kita gunakan. Ada juga yang menggunakan lebih dari satu jenama cth Visa, mastercard, Amex, Diners dsbnya. Pegalaman saya di Malaysia Visa dan Mastercard boleh diterima dimana-mana outlet yang menerima credit card. Jadi gunakan kan salah satu.
Bagi mereka yang mereka yang menggunakan credit card cuba ambil langkah-langkah ini:
1. Guna kad hanya bila diperlukan sahaja. Jika ada tunai gunakan tunai dahulu
2. Kalau boleh hapuskan dan jangan ingatkan nombor pin untuk pengeluaran tunai di ATM. Ini apa yang saya lakukan sebab untuk mengelakan saya saya menggunakan kad untuk pengeluaran tunai di ATM… Interest dari pengeluaran tunai melalui credit card amat tinggi sekitar 18% setahun Dan interest dikira secara harian dan terdapat charge tambahan lain . Ini akan membebankan kita kemudian hari
3. Jika menggunakan kad pastikan kita mampu membayar balik jumlah yang digunakan. Andai kata kalau kita ingin membayar ansuran terhadap jumlah yang digunakan pastikan kita tempoh bayaran balik dari masa yang singkat cth 3 bulan maksimum. Dan elakkankan bayaran minima cth 5%. Ini kerana kesannya hutang kita tak akan habis biarpun bertahun-tahun. Itu tak masuk penggunaan yang lain kalau kita terus menggunakan credit card . Di masa ini terdapat outlet yang menawarkan pembelian barang secara credit melalui credit tanpa faedah. Fahamkan apa yang dimaksudkan tanpa faedah. Tanpa faedah jika kita membayar secara bulan pada masa yang ditetapkan. Sebagai cth kalau kita membeli barangan bernilai RM1200 dan kita akan membayar balik sebanyak 12 kali atau 12 bulan. Bermakna setiap bulan kita perlu membayar RM100. Dalam kes ini pihak pengeluar kad tidak caj kan jumlah keseluruhan RM1200 segali gus dalam kad kita. Apa yang dilakukan oleh pengeluar kad mereka akan charge sebanyak RM 100 setiap bulan selama 12 bulan. Jadi kita seharusnya membayar RM100 setiap bulan dalam tempoh “interest free” untuk mengelakkan dikenakan interest oleh pihak pengeluar kad. Selalunya “interest free” period dalam tempoh 14 hari dari tarikh transaksi. Jadi pastikan kita bayar dalam tempoh ini. Jika gagal atau bayar dari yang sepatutnya interest tetap dikenakan.
4.Cukup guna 1 kad. Melainkan jika anda ada sebab kukuh menggunakan lebih dari satu card .
5. Berdisplin dn berhemah- jangan lupa diri masa guna credit card. Bagi pihak pengeluar mereka memang suka kalai kita guna banyak. Lebih banyak kita guna lebih banyak interest diorang dapat. Satu lagi ada bank yang akan bertindak memotong jumlah wang yang ada dalam bank jika anda tidak membayar hutang selepas beberapa amaran cthnya. Ini pernah terjadi pada rakan saya yang mana baki akaun di bank hanya tinggal RM10. Ini disebabkan pengeluar akan bertindak memotong baki di akaun bank anda jika anda masih gagal membayar baki hutang . Secara kasarnya memang memang tak patut tetapi ini kesilapan pengguna sendiri. Pertama masa berbelanja tak ingat dunia. Kedua tindakan pemotongan dari akaun bank kita juga sebenarnya atas kebenaran kita juga. Banyak yang tak sedar semasa kita memohon credit card kita telah bersetuju dengan menandatangani borang untuk pihak pengeluar memotong sejumlah wang dari akaun bank kita jika kita gagal membayar balik..jadi salah siapa…kalau kita bawak ke makamah pun kita takkan menang sebab kita dah bersetuju. jadi hati-hati semasa memohon credit card kalau tak mahu benda ini berlaku bayar mengikut masa atau guna mengikut kemampuan atau jangan apply langsung.
6. Jika anda ingin memohon credit card pastikan anda memohon jika anda mempunyai akaun di bank pengeluar credit card tersebut. Sebabnya anda boleh linkkan akaun kredit card anda ke dalam akaun bank anda. Kebanyakkan bank sekarang mempunyai perkhidmatan online. Jadi anda boleh tengok transaksi dari masa ke semasa dan lebi penting lagi anda boleh bayar terus jumlah hutang kredit card melalui perkhidmatan online banking anda. Jika anda tidak mempunyai internet pastikan cawangan pengeluar kad berada berhampiran dengan tempat tinggal anda. Ini memudahkan anda membayar secara tunai di cawanagan pengeluar kad. Ada pengeluar kad yang mana cawangan tidak banyak. Jadi anda terpaksa post wang pos/check atau sebagainya kepada pengeluar kad. Kita kena ingat semasa pos macam-macam boleh berlaku kemungkinan wang pembayaran lambat sampai atau tak sampai langsung. Jadi bila sampai tempoh interest tetap dikenakan
7. Seperkara lagi pastikan credit card anda selamat.. Sebabnya kad credit anda kalau berada ditangan orang lain macam-macam boleh berlaku. Memang agak sukar untuk orang lain menggunakan credit card anda untuk membeli barangan di outlet tetapi kalau digunakan diinternet ianya boleh berlaku. Sebabnya buka semua Ecommerce site menawarkan ciri-ciri keselamatan dalam pembelian menggunakan credit card. Jadi kemungkinan kad anda digunakan tanpa pengetahuan anda..
Ingat di dalam dunia ini ada baik dan tak baik begitu juga dengan credit card.. Ianya baik kalau kita bijak menggunkannya..begitulah sebaliknya….
Industri Hiburan – Realiti dan Masa Depan
Bilakah kali terakhir anda membeli CD lagu, VCD/DVD movie. Di manakah anda mendengar lagu atau menonton movie. Mungkin ada diantara kita yang sudah lama tak membeli CD atau VCD/DVD movie tetapi masih menikmati lagu kegemaran atau lagu terkini. Begitu juga dengan movie. Sebenarnya sengaja saya membangkitkan isu ini apabila saya membuat perbandingan industri hiburan sejak dari dulu hingga sekarang.
Kalau kita terbaca dalam internet atau mana-mana artikel industri hiburan terutama industri music kita dapati penjualan album menurun dengan mendadak. Banyak syarikat rakaman enggan mengambil artis baru kerana takut tidak mendapat sambutan. Bagi pihak rakaman mereka menyalah cetak rompak sebagai punca utama penjualan album merosot . Mungkin ada betulnya tapi apakah ini sebagai satu punca atau alasan yang muktamad . Adakah kalau tahap cetak rompak paling minima orang akan beli album original baru yang dikeluarkan masa kini.
Memang tak dapat dinafikan teknologi yang ada sekarang seperi internet broadband banyak mempengaruhi jualan album seseorang artis atau kumpulan. Kalau dulu individu terpaksa pergi ke pasar malam atau kedai kaset untuk membeli album cetak rompak sebab lebih murah. Tetapi sekarang hanya dengan menggunakan jari beribu lagu dapat di download ke pc. Tapi persoalannya kenapa peminat download lagu secara illegal. Bagi saya antaranya mungkin.
1. Mudah – semua orang suka sesuatu yang mudah dan kalau benda yang kita suka mudah didapati kenapa tak ambil saja
2.Harga – Ini salah satu daripada punca utama kenapa jualan album semakin kritikal. Sebenarnya bagi saya CD lagu yang dijual sekarang lebih murah dari CD lagu yang dijual 10 tahun lalu. Cth macam ni. CD sekarang dijual sekitar RM30-35 untuk album baru dan RM 20 – 30 untuk album compilation. Kalau saya tak silap harga untuk satu album dalam bentuk CD 10 tahun lalu paling murah RM35 dan paling tinggi RM45.00 jadi kalau kita ambil kira nilai matawang sekarang berbanding 10 tahun yang lalu bermakna harga CD sekarang memang lebih murah…Namun begitu disebabkan CD cetak rompak jauh lebih murah maka sudah tentu orang memilih untuk membeli cetak rompak atau download saja.
3.Bukan barangan keperluan. Ini memang tidak dinafikan keperluan terhadap barangan lain lebih diutamakan. Ini ditambah lagi dengan kenaikan kos barangan keperluan yaang lain menyebabkan orang ramai berfikir banyak kali untuk membeli CD atau apa-apa yang bukan dikatogerikan sebagai bukan keperluan
4.Quality dan nilai sesuatu album – Bagi saya ini adalah salah satu sebab yang sering dinafikan oleh syarikat rakaman. Mereka tidak memandang perkara ini sebagai salah satu sebab kenapa album tak laku. Sebaliknya menyalahkan orang ramai kononnya tidak menyokong insdustri hiburan tempatan. Ok kalau kita kembali 10 – 30 tahun dulu masalah cetak rompak telah ada tetapi kenapa jualan album sesuatu artis begitu menggalakan. Abil cth kumpulan Search untuk album Fenomena (1989), album ini mencapai jualan 100,000 unit dalam 3 hari…begitu juga dengan album pertama Raihan mencapai jualan melebihi 500,000 unit sedangkan masa tersebut cetak rompak memang dah lama wujud. Bagi saya begitu juga dengan julan album Ella, dan banyak artis era 70 , 80 dan 90 mendapat jualan album yang baik. Sekarang ni cuba kira berapa ramai artis yang berjaya mencecah 50,000 unit ..kalau tak salah saya mungkin Siti dan Mawi yang berjaya mencecah angka ini..artis lain…? Bukan orang ramai tak mahu nak beli tetapi mereka rasa tak berbaloi kalau beli. Ada yang berkata “….kalau la lagu dan quality album macam ni punya teruk….jual RM3.00 pun aku tak beli… Dalam masa yang sama taukeh cetak rompak pun malas nak cetak rompak album yang tak bagus.. Sebenarnya bagus tak bagus perkara subjektif..tetapi secara umum kalau album tersebut bagus dan lagu yang sedap majority pendengar akan suka.
Secara jujur kebanyakkan album yang dikeluarkan sekarang kualiti memang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan album yang pernah dikeluarkan masa dulu… kalau dulu setiap album dihasilkan mengambil masa dan dirancang dengan teliti.. Dulu tak ada istilah “Killer Song” atau lagu yang dianggap bakal meletup…masa dulu mereka berharap semua lagu jadi killer song bukan hanya satu atau dua lagu dan yang lain sebagai cukup syarat untuk satu album.
5.Artis itu sendiri- Artis baru masa kini lebih kepada glamor . Dari segi bakat dan kebolehan memang kurang. Punca banyaknya artis katogeri ini disebab terlalu artis yang diambil dari rancangan reality….walaupun bukan semua tak bagus ada yang bagus tetapi mereka tidak mempunyai “real talent” untuk menjadi artis rakaman. Kemenangan mereka berdasarkan undian peminat….bukan dari kehebatan bakat artis itu sendiri ….Dalam masa yang sama syarikat rakaman mengambil kesempatan “mempergunakan” artis “mee segera” ini… Memang pada peringkat awal jualan dan kepopularan artis itu menyerlah…tetapi berapa lama..paling kuat satu atau dua album kemudian…senyap. Susah nak mencari artis yang hebat seperti Jamal, Saleem, Search, Siti Nurhaliza, Alleycats dan artis-artis lama yang masih unggul sekarang ni. Album mereka dilahirkan atas “real talent”
Mungkin banyak lagi sebab kenapa jualan album sekarang tak sehebat dulu. Apa yang saya katakan di atas mungkin sebahagian dari pada sebab-sebab utama… Bagi saya agak sukar untum mengembalikan kegemilangan seperti dulu. Ini kerana dengan teknologi yang semakin tidak diduga kemungkinan menyebabkan perkara di atas menjadi lebih teruk..
Jika anda mempunyai pandangan postkan comment anda….
Anuar & Ellina – Penyanyi kanak –kanak yang popular
Baru-baru ni saya pergi ke sebuah pusat beli belah di Ipoh bersama keluarga. Kalau saya pergi pusat beli belah selalunya kedai komputer dan kedai CD memang tak pernah saya saya lupa. Sementara menunggu isteri bershopping saya pun masuk ke kedai CD Music Valley. Sebenarnya bukan nak beli CD pun saja tengok kalau ada apa-apa cd yang mungkin menarik perhatian saya. Agak lama jugak saya tak beli CD lagu. Sebabnya saya kurang berminat untuk membeli CD lagu terutama artis baru…entah kenapa…mungkin faktor usia atau atau minat terhadap musik terkini amat kurang. Kalau saya beli cd pun biasanya cd kompilasi artis 70′an atau 80′an …emm mungkin masa tahun 80′an masa tu saya remaja..jadi tentu suka lagu dalam tahun-tahun ni.
Masa tengah membelek-belek CD saya terpandang CD yang betul-betul menarik perhatian saya. Wahh..ini lah album dan artis yang saya memang cari dan nak sangat. Tajuk CD tersebut “Memori Hit Anuar & Ellina 40 Lagu Terbaik -- Exclusive Series” saya pun tanpa fikir panjang terus ambil dan bayar di counter. Di rumah saya terus mainkan CD tersebut. Apa yang mengembirakan saya semua lagu yang pernah dirakamkan oleh pasangan duet Anuar & Ellina di masukkan dalam album kompilasi ini. Seperti mana-mana album kompilasi terbitan EMI.. saya akui quality bunyi memang amat baik. Bila saya dengar balik lagu-lagu dalam album ini teringat semasa di zaman kanak-kanak yang mana lagu-lagu seperti Kain Pelikat , Kuda Kepang pernah begitu popular pada zaman itu. Di bawah saya senaraikan lagu yang dimuatkan dalam album kompilasi ini:
Disc I :
01 -- Kain Pelikat
02 – Seruling
03 -- Joget Budi Bahasa
04 -- Bukan Untuk Diri Sendiri
05 -- Senandung Warisan
06 -- Kuda Kepang
07 -- Buai Adik Kubuai
08 -- Bila Dewasa
09 -- Hidup Berpesan – Pesan
10 -- Senyumlah Senyum
11 -- Dendang Petani
12 -- Kasih Sayang
13 -- Bumi Bertuah
14 -- Cuti Sekolah
15 -- Rukun Iman
16 -- Senandung Warisan II
17 -- Apa Itu
18 – Berdendang
19 -- Ya Ami Ya Ami
20 -- Joget Shah Alam Di Rimba
21 -- Suasana Malam
Disc II :
01 -- Lenggang Pendayung
02 -- Mainan Kata
03 -- Lagu Kedamaian
04 -- Bersama Lagi
05 -- Jual Murah
06 -- Hidup Berbudi
07 -- Ku Akan Buktikan
08 -- Nyanyian Malam Pesta
09 -- Nyanyian Sepasang Hati
10 -- Impian Dan Cita Cita
11 -- Kesan Kelukaan
12 -- Cinta Namanya
13 -- Engkau Bukan Sendiri
14 -- Langkah Pertama
15 – Kejayaan
16 -- Dulu Berkawan Kini Bercinta
17 -- Hidup Seribu Liku
18 -- Sesudah Mimpi
19 -- Jangan Kau Biarkanku
Album ini mengandungi kesemua album dari album pertama Berdendang Bersama (1983), Kasih Sayang (1984), Hidup Berbudi (1985) dan terakhir Nyanyian Sepasang Hati (1988). Sebenarnya kesemua album ini pernah saya miliki dalam bentuk kaset. Walau bagaimana pun entah mana perginya kaset-kaset tersebut… Jadi bila EMI mengeluarkan semula album kompilasi ini memang saya tunggu-tunggu untuk memilikinya sebab semua lagu dalam album Anuar & Ellina memang saya aku memberi kesan kepada pendengar.
Bercakap mengenai Anuar Zain memang ramai yang mengenali penyanyi ini kerana sehingga ke hari ini beliau masih aktif menyanyi dan merakamkan album. Yang terbaru album “Lelaki Ini”. Jadi tak perlulah saya bercerita panjang mengenai Anuar Zain kerana segala perkemabangan terkini beliau boleh di baca di majalah atau diakhbar atau melawat di laman web http://www.anuarzain.com.my . Dalam post kali ini saya ingin menceritakan mengenai pasangan duet beliau iaitu Ellina. Sebabnya kurang yang bercerita mengenai Ellina.
Ellina atau Ellina Binti Razak memang saya kenali sebelum beliau merakamkan album kerana beliau tinggal berhampiran dengan rumah saya di Kuala Kangsar pada zaman beliau masih kanak –kanak sehinggalah menghasilkan album. Pada masa saya bersekolah rendah saya tinggal bersama bapa saudara saya di kawasan Kolej Melayu Kula Kangsar (MCKK) . Bapa saudara saya tinggal di kuaters pekerja MCKK jadi saya tinggal disitu disebabkan berhampiran dengan sekolah rendah. Kebetulan bapa Ellina juga guru musik di MCKK pada masa itu. Disebabkan bapa saudara saya minat musik dan juga memiliki peralatan musik di rumah jadi tak secara langsung menarik minat bapa Ellina berkunjung ke rumah bapa saudara saya. Ada beberapa kali Ellina juga dibawa semasa bapanya berkunjung ke rumah.
Oleh kerana En Razak mahir dalam bidang musik sudah tentu bakat musik secara semula jadi turun kepada anaknya Ellina. Ellina memang mahir memainkan organ tak salah saya beliau mempunyai siijil music dari badan professional. Pernah saya menonton persembahan Ellina bermain organ di Dewan Kolej Melayu Kuala Kangsar sebagai jemputan di konsert di MCKK. Memang saya kagum dengan kebolehan beliau. Semasa saya kecil memang saya juga berminat bermain organ , jadi bila tengok Ellina memainkan lagu dengan organ dengan begitu baik saya rasa saya ingin menjadi macam beliau.
Mengikut apa yang saya masih ingat Anuar dan Ellina mula merakamkan album apabila dipilih dari ratusan kanak-kanak yang diuji bakat oleh pihak EMI dalam tahun 1983. EMI ingin mengeluarkan album bercorak lagu kanak-kanak dan diakhir uji bakat Anuar dan Ellina dipilih untuk merakamkan album. Pada tahun yang sama Anuar dan Ellina telah berjaya merakam sepuluh buah lagu untuk album yang pertama yang bertajuk Berdendang Bersama. Percaturan pihak EMI memang tak salah dalam tempoh yang singkat nama Anuar dan Ellina menjadi begitu popular bukan saja dikalangan kanak-kanak malahan semua peringkat umur. Lagu Kain Pelikat dan Kuda Kepang mejadi sinonim dengan pasangan duet ini. Nama mereka menjadi lebih popular apabila muncul di sebuah rancangan TV terbitan RTM pada tahun yang sama. Saya sebagai orang Kuala Kangsar dan berjiran dengan Ellina sudah tentu bangga dengan kepopularan Ellina.
Kalau tak silap pada bulan Disember 1983 pihak EMI dengan kerjasama MCKK menganjurkan pertandingan lagu kanak-kanak bertempat di Dewan MCKK. Jadi kesempatan itu di ambil oleh kakak saya untuk menyertai pertandingan tersebut. Apa yang meyeronokkan masa latihan awal ia dibuat dirumah Ellina. Jadi kesempatan itu membolehkan saya pergi bersama kakak saya kerumah Ellina yang pada itu sudah popular. Apa yang menyeronokan saya pasangan Ellina iaitu Anuar Zain turut bersama dan tinggal dirumah Ellina selama lebih kurang seminggu sebelum hari pertandingan. Anuar dan Ellina menjadi artis jemputan dalam pertadingan tersebut . Jadi dalam seminggu itu saya sering lepak d irumah Ellina dan berbual dengan Anuar Zain yang saya akui sorang budak yang baik dan bersopan santun.
Untuk latihan akhir semua peserta yang layak dikehendaki hadir di Studio Istana Iskandariah Bukit Chandan Kuala Kangsar. Ramai yang tidak mengetahui semasa zaman Almarhum Sultan Idris, Istana Bukit Chandan mempunyai Studio music yang lengkap kerana Sultan Idris juga meminati music. Jadi saya dan sekeluarga mengambil kesempatan untuk pergi ke Istana.. Bukan mudah nak masuk istana. Di studio semua peserta yang layak menjalani latihan bersama pemusik Istana yang juga bakal mengiringi peserta di peringkat akhir. Setelah kesemua peserta menjalan latihan tibalah masa Anuar dan Ellina menjalani latihan. Ini pertama kali saya mendengar Anuar dan Ellina menyanyi secara live… mereka mendendangkan lagu popular mereka seperti Kain pelekat dan Kuda kepang. Selain dari lagu dari album mereka sendiri mereka juga menyanyikan beberapa lagu dari artis lain seperti Siapa Dia Sebelum Aku yang dipopularkan oleh Roy dan Fran dan sebuah lagu Inggeris iaitu Fame. Saya memang akui suara mereka memang baik terutama Anuar zain..terpegun saya mendengar mereka menyanyikan lagu Fame. Di sepanjang sessi latihan saya dan Anuar sentiasa berbual sebab Anuar tak ada kawan lelaki yang sebaya pada masa tu. Jadi kesempatan itu saya ambil untuk merakam gambar saya bersama Anuar.

Di malam pertandingan begitu ramai peminat Anuar dan Ellina di Kuala Kangsar hadir menyaksikan pertandingan nyanyian , bukan kerana ingin menonton peserta tetapi ingin menonton persembahan Anuar dan Ellina. Pada malam tersebut kakak saya hanya mendapat sagu hati berupa sijil dan kaset original Anuar dan Ellina. Bukan senang nak dapat kaset original pada masa tu sebab di kedai kaset cetak rompak yang paling popular…tetapi saya tak kisah sangat sebab yang penting saya dapat mendengar persebahan Anuar dan Ellina yang memang hebat.
Pada tahun berikutnya iaitu tahun 1984 Anuar dan Ellina mengeluarkan album yang kedua bertajuk Kasih Sayang . Seperti album sebelumnya album ini juga saya beli …emmm biasala cetak rompak. Hampir semua lagu dalam album ini saya suka. Apa yang menarik sebelum album ini dikeluarkan saya dah mendengar hampir semua lagu yang ada. Bukan dalam bentuk kaset tetapi dalam bentuk pita video. Ini kerana pada tahun tersebut Anuar dan Ellina telah dijemput untuk mengendalikan rancangan khas mereka di Radio Televisyen Brunei. Jadi sekembalinya mereka dari Brunei pihak RTB meberikan salinan pita video rakaman tersebut. Kemudian kakak saya pergi kerumah Ellina untuk meminjam pita video tersebut. Rakaman tersebut memang dalam raw atau unedited.. Sebenarnya rakaman tersebut dibuat untuk disiarkan pada hari raya di RTB. Dalam racangan tersebut beberapa lagu dari album pertama dan album terbaru dinyayikan. Jadi pada masa itulah saya dengar lagu terbaru anuar dan ellina. Tidak berapa lama kemudian TV3 juga turut menyiarkan rakaman tersebut. Tapi pada tahun 1984 TV3 masih baru dan negeri Perak belum mendapati liputan siaran. Jadi saya tak berpeluang menonton rancangan tersebut. Tapi saya tak kisah sebab saya dan menonton lebih awal sebelum ini.
Sepanjang tahun 1984 – 1987 emak saya menjalankan perniagaan kantin di sebuah sekolah rendah yang kebetulan diseberang jalan rumah Ellina. Jadi kakak saya sering berkunjung ke rumah Ellina dan jika ada peluang saya pun ikut sekali. Dalam tahun 1984 juga pihak EMI juga mengeluarkan album Khas Hari Raya dalam album ini beberapa artis popular EMI seperti Sheila Majid dan beberapa artis EMI lain turut menyumbangkan suara termasuk Anuar dan Ellina. Dalam Album ini mereka menyayikan lagu yang begitu popular sehingga sekarang terutama bila musim raya iaitu Suasana Hari Raya. Lagu ini sekarang telah menjadi satu anthem kepada Hari Raya. Siapa yang tak suka lagu ini bila musim raya. Anak saya yang baru berusia 2 setengah tahun pun minat lagu raya ni…dia tak pernah kenal pun siapa Anuar dan Ellina.. begitu kuatnya pengaruh lagu raya yang disampaikan oleh Anuar dan Ellina. Teringat saya bila lagu ini dimainkan buat pertama kali di RTM untuk sebuah rancangan Hari Raya. Suasana bunga api dan keriuhan kanak-kanak dalam video clip tersebut begitu menghiburkan. Tak salah saya rakaman video itu dibuat dirumah Anuar di Shah Alam… Dalam video clip tersebut juga adik kepada Ellina iaitu Eliza AF3 yang masih dalam buaian juga muncul dalam video tersebut.
Dan untuk tahun berikutnya mereka juga mengeluarkan album yang ketiga tak salah saya bertajuk Hidup Berbudi…selepas itu mereka terus senyap. Mungkin kerana pada ini music rock menguasi pesada music tempatan…dan pada tahun 1988 mereka mengeluarkan album yang terakhir yang bertajuk Nyanyian Sepasang Hati. Malangnya album ini kurang mendapat sambutan kerana ada beberapa sebab. Pertama mungkin pengaruh music rock yang begitu kuat pada masa tu. Kedua mereka bukan lagi kanak-kanak. Perubahan suara pada Anuar begitu ketara. Kalau tiga album sebelumnya suara anuar masih suara kanak-kanak untuk album ini suara anuar sudah mejadi garau. Lagu-lagu dalam album ini juga tidak lagi berkisar mengenai alam kanak-kanak tetapi lebih kepada alam remaja. Walau bagaimana pun bagi pendapat saya lagu-lagi dalam album ini memang berkualiti dan sedap didengar cth sperti lagu Nyanyian Dalam Hati.
Pada tahun ini juga Ellina sudah dalam tingkatan 6 rendah. Oleh kerana sekolah asal Ellina tidak mempunyai kelas untuk pelajar tingkatan 6. Ellina telah dimasukkan di sekolah saya Sek. Men Clifford Kuala Kangsar. Di sekolah, saya menganggotai band sekolah. Pada masa itu saya bermain keyboard dan Ellina menjadi penyanyi. Teringat saya Ellina mennyayikan lagu Power of Love yang dipopularkan oleh Jeniffer Rush.. Memang lantang sungguh suara Ellina… Kalaulah Ellina membaca artikel yang saya tulis ini sudah tentu Ellina teringat ” kenangan” bersama band boys disekolah Clifford. Walaubagaimana pun Ellina tidak lama disekolah saya kerana beliau melajutkan pelajaran di IPT tempatan . Selain dari bidang seni suara sebenarnya Ellina juga cemerlang dalam bidang pelajaran. Jadi tak hairanlah beliau mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Selepas itu saya dan band boys yang lain terputus hubungan dengan Ellina
Selepas berberapa tahun Ellina juga mucul di TV sebagai penyanyi latar…dan selepas itu terus senyap…dan kali terakhir saya dengar Ellina telah mendirikan rumah tangga. Langkah seni suara beliau diikuti oleh adik beliau iaitu Eliza AF… Kalau tak silap raut wajah Eliza lebih kurang sama dengan Ellina sewaktu remaja. Begitu juga dengan suara… Eliza pernah bernyanyi beberapa lagu di majlis perkahwinan adik saya sebelum memasuki Akademi Fantasia…
Begitulah serba sedikit pengalaman saya bersama artis yang begitu popular suatu masa lalu… InsyaAllah kalau ada peluang saya cuba dapatkan photo atau video berkaitan dengan Anuar Ellina dari pihak Ellina sendiri kalau mereka masih simpan untuk disiarkan di laman ini…
Untuk Album kompilasi ini saya rasa berbaloi untuk dimiliki bagi mereka yang meminati Anuar dan Ellina atau untuk mereka yang ingin memperdengarkan lagu-lagu kanak-kanak kepada anak-anak mereka.. Untuk peminat anuar dan Ellina dan pengunjung laman blog ini..saya sertakan 5 buah lagu yang jarang didengar oleh kebanyakkan kita. Untuk lagu yang lain sila dapatkan CD koleksi Khas Anuar dan Elina “Memori Hit Anuar & Ellina 40 Lagu Terbaik -- Exclusive Series” keluran EMI di pasaran. Semoga terhibur.
Sila klik pada butang play untuk memainkan lagu
1. Senyumlah Senyum (Anuar & Ellina)
Go get Adobe Flash Player!
2. Bila Dewasa (Anuar)
Go get Adobe Flash Player!
3. Joget Budi Bahasa (Ellina)
Go get Adobe Flash Player!
4. Ku Akan Buktikan (Ellina)
Go get Adobe Flash Player!
5. Bukan Untuk Diri Sendiri (Anuar)
Go get Adobe Flash Player!
6. Suasana Hari Raya
7. Kejayaan
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429

Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.
Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam. Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu. Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.
Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing. Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.
Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka. Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.
Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit. Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal ‘Wahai anak hitam’. Baginda berkata kepada Umar ‘Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah’.
Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.
Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, ‘Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat’.
Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata ‘Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita’.
Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.
Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia. Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri. Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain. Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.
Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat: ‘Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika’. Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa ‘Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat’.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini. Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud, ‘Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut’. Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.
Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.
Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam. Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal. Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.
Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha. Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul ‘Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak’. Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad, ‘Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini’. Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.
Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei ‘Mengapa engkau datang kepada kami ?’. Ruba’ei menjawab ‘Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat’.
Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain. Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah. Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.
Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun. Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu. Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat. Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan. Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun dahulu.
Artkel asal oleh Hasnan bin Kasan



