Archive for December, 2007
Sudahkah kita membayar zakat?

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak buruk); dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa-doa itumenjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui)- Surah At- Taubah (ayat – 103)

Maksudnya:”Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berikan zakat dan taatlah kamu kepada Rasulullah supaya kamu peroleh rahmat.” (Surah An Nur – Ayat 56)
DALAM sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan Allah pada tahun kedua Hijrah, ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati oleh umat Islam.
Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya ia disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada rukun Islam.
Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam, yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini. Baginda Rasulullah sendiri digambarkan sebagai pemuda al-Amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat.
Digambarkan pada zaman jahiliah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Mekah seringkali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga miskin yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.
Muhammad al-Amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila Baginda sering memberi makanan kepada orang-orang miskin, membantu anak-anak yatim dan memelihara kebajikan ibu-ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas nabi menjangkau kepada semua makhluk Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Nabi sendiri bertuah kerana Baginda disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid yang telah terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.
Para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf sendiri adalah golongan yang banyak bersedekah dan berderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal disiksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar.
Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati. Ini kerana, Allah s.w.t. sendiri telah memberikan pertunjuk bahawa keberkatan itu lahir daripada salah satu amalan murni yang dinamakan zakat. Firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Maryam: 31)
Faktor keberkatan
Kenapakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapannya mudah, kerana ia adalah anugerah Allah. Apabila Allah s.w.t. mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan integrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada Allah s.w.t. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.
Berkat pada hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak oleh mata kasar namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu bapa dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah pertanda keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah s.w.t.
Firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (al-Baqarah: 274)
Bagaimana memperoleh keberkatan?
Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5 peratus daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperoleh keberkatan daripada Allah s.w.t.
Allah s.w.t. sesungguhnya Maha Mengetahui bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada-Nya. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan pada masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.
Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrem dalam berharta. Firman Allah bermaksud: Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31).
Sebaliknya, Allah s.w.t. amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Sebagaimana firman Allah bermaksud: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik. (al-Baqarah: 195)
Kesimpulan
Zakat adalah satu jalan dari pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkat ibadat itu sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya.
Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan hidup di akhirat kelak terhindar dari bakaran? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.
Bak kata hadis nabi: Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat nanti.
Sumber artikel: Utusan Malaysia (24/12/2007)
* HAMIZUL ABDUL HAMID ialah pegawai perhubungan awam di Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Rujukan lain
E-Zakat: www.e-zakat.com.my
Pengorbanan
Manusia adalah jenis makhluk yang ada perasaan. Apabila kita menyebut perasaan, ia adalah rasa-rasa yang bertapak di hati nurani dan sarangnya adalah hati daging.
Perasaan-perasaan itu seperti rasa kasih, rasa benci, rasa jijik, rasa simpati, rasa marah, rasa dendam, rasa rindu, rasa malu, rasa megah, rasa sombong, rasa takut, rasa serba salah, rasa berbelah bagi.
Perasaan-perasaan yang merupakan fitrah atau tabiat semulajadi manusia, bukan senang hendak diasuh, dididik, didisiplinkan, dikendalikan dan diurus kerana ia ada yang positif, ada yang negatif. Yang positif hendak dilepaskan, yang negatif hendak ditahan.
Melepaskan yang positif adalah satu pengorbanan.Menahan yang negatif adalah juga satu pengorbanan. Mengorbankan perasaan dianggap satu jihad; jihad batin . Bahkan dia lebih besar lagi daripada jihad-jihad benda-benda yang lahir seperti mengorbankan tenaga, harta dan nyawa. Jihad yang lahir tidak akan boleh berlaku kalau tidak bermula daripada jihad yang batin. Dari yang batinlah mencetuskan yang lahir. Kalau yang batin tidak mampu hendak di korbankan sudah tentu yang lahir ikut serta, sudah tentu tidak sanggup dikorbankan. Yang sebenarnya pengorbanan yang lahir itu, ia adalah merupakan implimentasi dari pengorbanan yang batin. Dengan kata-kata yang lain, pengorbanan yang lahir itu adalah buah daripada pengorbanan yang batin iaitu pengorbanan perasaan.
Perlu diingat, untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala perlukan pengorbanan. Tidak ada pengorbanan, tidak ada keredhaan. Tidak ada pengorbanan adalah `nonsence`. Tidak ada pengorbanan adalah angan-angan. Tidak ada pengorbanan, tidak akan ada kejayaan untuk dunia dan Akhirat.
Mengorbankan perasaan, amat susah hendak dilakukan. Sungguh perit dan sakit. Sungguh tercabar dan menyusahkan. Saya bawa beberapa contoh:
1. Kita kasih dan sayang pada suami kita. Kita suka dia duduk di rumah sahaja untuk membelai kita. Apakah mudah kasih sayang kita itu hendak kita korbankan untuk membenarkan dia berjuang di luar rumah. Untuk dia menunaikan kewajipan kepada Tuhan di luar rumah hingga terpisah daripada kita beberapa ketika.
2. Kita sayang sangat dengan suami kita. Apakah mudah kita hendak korbankan kasih sayang kita untuk dibahagi sedikit kepada orang lain dengan membenarkan suami kita berkahwin lagi. Agar suami kita itu dapat dikongsi kasih sayangnya dengan orang lain.
Lebih lanjut lagi mari kita datangkan contoh yang lain.
3. Kita marah kepada seseorang. Bolehkah kita korbankan perasaan marah itu hingga kita boleh memberi maaf atau meminta maaf kepada orang itu. Sanggup memberi maaf atau meminta maaf ertinya kita sanggup mengorbankan perasaan ego atau sombong kita.
4. Contoh yang lain kita sayang sangat dengan harta kita. Perasaan sayang dengan harta itu kita korbankan dengan cara harta kita itu kita infakkan kepada jalan Allah. Perasaan itu sudah tentu menyeksakan kita.
5. Selanjutnya contoh yang lain, perasaan ingin berehat. Ingin bersenang-senang dan menyenangkan badan. Tiba-tiba ada tetamu datang atau ada jiran yang memerlukan pertolongan kita. Sanggupkah kita mengorbankan perasaan dengan cara kita hormati tetamu atau kita pergi menolong jiran kita yang memerlukan pertolongan kita.
6. Lebih lanjut lagi mari kita datangkan beberapa contoh lagi untuk lebih dapat kita faham tentang pengorbanan perasaan seperti kita diuji dengan berbagai-bagai ujian, miskin, kemalangan, bencana alam. Sudah tentulah hati kita susah. Begitulah perasaan kita di waktu itu. Kalau kita tidak boleh menahan atau mengorbankan perasaan kita, sudah tentu kita keluh-kesah, risau. Fikiran berserabut atau tidak menentu hingga memberi kesan di sudut kehidupan kita yang lain. Bahkan boleh menyusahkan orang lain. Sedangkan masalah tidak selesai juga. Bahkan boleh menambahkan masalah lagi. Tapi kalau kita sanggup mengorbankan perasaan kita itu, timbul ketenangan. Fikiran kita stabil. Membuat kerja-kerja lain tidak terganggu. Orang lain pun tidak dapat kesusahan. Bahkan dengan pengorbanan perasaan kita itu datang simpati orang atau orang pun kasihan.
7. Seterusnya kita datangkan lagi contoh-contoh. Kita orang kaya atau berilmu atau berpangkat besar dan berkuasa. Sudah tentu perasaan kita berbunga. Perasaan sombong pun datang. Perasaan megah pun ikut tiba. Kalau kita tidak korbankan perasaan yang telah disebutkan tadi, berapa ramai orang yang tersinggung. Berapa banyak orang yang terzalim. Entah berapa ramai yang mendapat susah. Sudah tentu lahir `side effect`nya. Iaitu orang benci, masyarakat marah. Mungkin ada orang yang berdendam dan bertindak menyusahkan orang itu. Akhirnya kedua-dua pihak tidak selamat. Kedua-dua pihak mendapat kesusahan.
Tapi kalau sikaya atau yang berilmu tadi atau yang berpangkat besar dan mempunyai kuasa sanggup mengorbankan perasaan yang negatif tadi, ia mempunyai `side effect` yang baik. Datang orang ramai sayang, masyarakat hormat, orang memberi hati dan jiwa. Ertinya sama-sama menerima faedah. Sama-sama mendapat kasih sayang sama-sama harmoni. Itulah dia kelebihan mengorbankan perasaan.
Oleh kerana itu mengorbankan perasaan adalah rahsia segala kebaikan. Dari mengorbankan perasaan itu lahir kasih sayang, lahir kesabaran, lahir simpati, lahir pembelaan, lahir bertolong bantu, lahir ukhuwah, lahir keredhaan. Maka kerana itu, mengorbankan perasaan itu adalah satu jihad. Kerana di sini nafsu terpaksa dilawan. Melawan nafsu lebih besar daripada jihad di medan perang. Kerana itu mengorbankan perasaan itu amat perlu dilakukan. Kalau perasaan tidak sanggup dikorbankan, sifat sabar tidak akan dapat dimiliki. Apatah lagi sifat redha. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, kita akan jadi pemarah. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, tolak ansur tidak akan wujud. Tidak sanggup mengorbankan perasaan, bertolong bantu, simpati, ukhuwah, harmoni semuanya tidak akan wujud. Ertinya mengorbankan perasaan itu sangat besar ertinya di dalam kehidupan masyarakat atau di dalam kehidupan sesama manusia.
Oleh itu minta selalu kepada Tuhan hidayah dan taufik-Nya agar kita mampu mengorbankan perasaan agar segala perkara yang lahir yang kita miliki dapat kita korbankan demi keredhaan Tuhan.
SEKIAN ( Artikel asal dari http://kawansejati.ee.itb.ac.id/node/15479 )
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha
Pengorbanan adalah satu sifat yang mulia.. cuma jangan sampai terkorban dalam memenuhi sesuatu yang sia-sia
Musim Hujan & Banjir
Seperti tahun-tahun yang bila tiba bulan Disember sudah tentu kita merasai kesejukkan udara terutama di waktu malam. Pada bulan ini hujan turun hampir setiap hari terutama di sebelah petang. Jadi tidak hairanlah disesetengah tempat air sungai melepasi dari tahap biasa dan menyebabkan banjir. Saya teringat ada seorang kawan yang berasal dari Kota Bharu Kelantan pernah menceritakan bila musim banjir suasana menjadi seolah macam satu pesta. Ini kerana masalah banjir terutama di negeri di pantai timur adalah lumrah. Jadi ia seolah satu pesta tahunan kerana majoriti rakyat disebelah pantai timur memang menduga kedatangan musim banjir.
Namun disebalik “keseonokan” di musim banjir juga kadangkala mengundang masalah terutama bagi sesetengah tempat yang jarang atau tidak pernah. Ini kerana mereka tidak dapat menbuat persedian menghadapi banjir. Bagi mereka yang biasa menghadapi banjir sudah tentu biasa dengan keadaan selepas banjir di mana mereka terpaksa mencuci rumah dan halaman yang dimasuki lumpur. Dalam masa yang sama terpaksa menerma hakikat barangan rumah dihanyuti air atau mengalami kerosakan.
Saya secara peribadi tidak pernah mengalami pengalaman semasa banjir tetapi mendengar cerita dari orang tua saya kekadang seronok jugak. Di Kuala kangsar kampung halaman saya pada masa dulu memang kerap dilanda banjir kerana bandar Kuala Kangsar memang terletak di sebelah sungai iaitu sungai Perak . Pada tahun 1926 Bandar Kuala kangsar telah mengalami satu banjir besar dalam sejarah. Dikatakan paras air pada masa itu hampir menenggelamkan Jam Besar iaitu satu mercu tanda Bandar Kuala kangsar. Pada masa ini sekiranya musim hujan air sungai Perak masih melimpah ke kawasan berhampir sungai. Walau bagaimana pun masalah banjir besar setakat ini belum berlaku . Ini kerana selepas banjir besar 1926 kerajaan Inggeris pada masa itu bercadang membina sebuah empangan iaitu Empangan Chenderoh untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik dan pada masa yang sama mengawal limpahan air sungai yang berlebihan di sepanjang sungai perak.
Selain daripada kehilangan harta benda semasa musim banjir terdapat juga kejadian kehilangan nyawa manusia. Kalau kita baca di akhbar boleh dikatakan setiap tahun pasti ada peristiwa kehilangan nyawa semasa musim banjir. Ada beberapa peristiwa di mana mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan ada juga peristiwa insan kurang upaya terperangkap semasa banjir kerana tidak berupaya menyelamatkan diri. Namun disebalik kejadian yang tidak dapat dielakan ada juga kejadian yang mana berpunca dari kelalaian manusia. Sebagai cth bermain di tali air atau sungai yang dilempahi oleh air yang deras dan dalam. Memang ajal maut adalah ketentuan namun kejadian ini mungkin dapat dielakkan sekiranya kita peka terhadap keselamatan diri dan keluarga kita.
Jadi saya bersimpati dengan masalah yang dihadapi oleh mereka menhadapi masalah banjir. Saya tak dapat nak merasai bagaimana susahnya kesan dari masalah banjir namun kata orang “berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul…jadi saya berharap agar magsa banjir dapat menghadapi dugaan dengan sebaik mungkin.
Mengenai cerita banjir rakan saya iaitu Isfanizal ada mengirimkan beberapa gambar suasana banjir yang berlaku di Segamat Johor.







