Archive for October, 2007

Soyuz TMA-11 berlabuh di ISS

Vvlwm2u5mtU

Pesawat Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan dua krew lain selamat bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam ini pada jarak 350 kilometer dari Bumi di ruang angkasa rantau Asia Tengah.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, Soyuz berlabuh di ISS tepat pukul 6.52 petang waktu tempatan (10.52 malam waktu Malaysia).

“Roket itu bercantum dengan ISS selepas berada di orbit selama 47 jam dan mengelilingi Bumi sebanyak 700 kali.

“Sebaik sahaja ia bercantum, Pusat Kawalan Misi (MCC) di Moscow mengadakan komunikasi dengan kesemua krew yang berada di ISS termasuk Sheikh Muszaphar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sheikh Muszaphar berlepas dengan pesawat angkasa Soyuz TMA-11 ke ISS pada pukul 7.21 malam waktu Kazakhstan Rabu lalu bersama angkasawan wanita dari Amerika Syarikat (AS), Peggy Whitson dan jurutera penerbangan dari Rusia, Yuri Malenchenko.

Selepas pencantuman pada pukul 6.52 petang waktu Moscow hari ini, Malenchenko memberitahu MCC di Bumi: “Semuanya hebat.”

Pendaratan di ISS itu bermakna misi berkenaan telah melepasi satu lagi fasa kritikal selepas pelancaran dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dua hari lalu.

Proses pendaratan secara automatik di ISS memerlukan Soyuz berada pada kedudukan sama dengan stesen itu yang terletak 350 kilometer dari muka Bumi bagi membolehkan kedua-duanya bercantum.

Soyuz juga perlu berputar mengelilingi Bumi setiap 90 minit dengan kelajuan tujuh kilometer setiap saat iaitu kelajuan yang sama dengan ISS.

Sheikh Muszaphar dan dua krew Soyuz TMA-11 mengambil masa antara 60 dan 90 minit selepas berlabuh di ISS untuk membuka laluan bagi memasuki stesen angkasa itu.

Pihak berkuasa Rusia malam ini meletakkan beberapa helikopter dan kapal terbang dalam keadaan berjaga-jaga di wilayah Karaganda dan Baikonur, Kazakhstan bagi menghadapi sebarang kecemasan ketika percantuman antara Soyuz TMA-11 dan ISS.

Beberapa kawasan di Rusia dan negara-negara lain juga telah dikenal pasti sebagai tapak pendaratan sekiranya Soyuz terpaksa mendarat cemas di Bumi.

Ketibaan Sheikh Muszaphar di ISS disambut tiga krew Ekspedisi 15 yang bertugas di ISS iaitu Komander Fyodor Yurchikhin dan jurutera penerbangan Oleg Kotov dari Rusia serta jurutera penerbangan dari AS, Clayton Anderson.

Sheikh Muszaphar, 35, menjadi orang Islam pertama di dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas yang disambut hari ini di Kazakhstan.

Menurut jadual aktiviti angkasawan Malaysia, apabila tiba di ISS, Sheikh Muszaphar akan makan malam, melakukan uji kaji, membersihkan diri dan kemudian tidur selama sembilan jam.

Di ISS, beliau akan menjalankan kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi mencari vaksin penyakit HIV/AIDS.

Doktor bedah ortopedik itu dijadualkan mengadakan tiga sesi sidang video dari ISS termasuk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pukul 8.20 malam Ahad ini.

Ia diikuti sesi kedua dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis pada Isnin dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar serta para pelajar sekolah pada 19 Oktober.

Dua krew yang tiba di ISS bersama Sheikh Muszaphar malam ini iaitu Malenchenko, 45, dan Whitson, 47, akan tinggal di ISS selama beberapa bulan.

Malenchenko adalah veteran ISS manakala Whitson yang pernah tinggal di sana selama enam bulan bakal menjadi wanita pertama yang mengetuai operasi stesen itu.

ISS mula menerima krew melalui Ekspedisi 1 pada 2 November 2000 yang dirintis oleh dua angkasawan Rusia, Yuri Gidzenko dan Sergei Krikalev serta angkasawan AS, William Shepherd.

ISS yang dibina daripada gabungan kepakaran AS, Rusia, China, Jepun, Kanada dan Eropah berfungsi sebagai tempat menjalankan uji kaji pada persekitaran mikrograviti serta memantau angkasa lepas.

Selain Sheikh Muszaphar, Whitson dan Malenchenko, ISS kini dihuni Komander Fyodor Yurchikin, jurutera penerbangan Oleg Kotov dan angkasawan AS, Clayton Anderson.

Sebaik sahaja memperoleh akses komunikasi dengan MCC, Sheikh Muszaphar kemudian memulakan komunikasi dengan anggota keluarganya.

Angkasawan Malaysia itu akan kembali ke Bumi bersama Yurchikhin dan Kotov menggunakan pesawat TMA-10 pada 21 Oktober ini.

  • Share/Bookmark

10 Oktober Hari Yang Bersejarah

Pada hari ini negara kita menempa sejarah kerana buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia menghantar rakyatnya ke angkasa lepas. Bukan mudah sesebuah negara untuk melibatkan diri dalam arena angkasa lepas. Ia juga merupakan satu sejarah yang amat berharga sempena negara kita menyambut hari Kemederkaan yang ke 50 tahun. Dalam masa yang sama Russia juga menyambut ulangtahun ke 50 dalam penerokaan angkasa lepas apabila telah berjaya menghantar satelit buatan manusia Sputnik , 50 tahun yang lalu. Malaysia bertuah kerana kerajaan Russia memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk turut serta dalam misi angkasa lepas ke International Space Station (ISS) dalam program angkasa lepas. Malaysia diberi peluang selepas perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangi pada tahun 2003.

Selepas perjanjian tersebut dimetarai maka bermulalah pencarian angkasawan Malaysia yang pertama. Dalam proses pencarian ini beribu rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dan latar belakang mencuba nasib. Walaubagaimana pun hanya seorang saja yang akan dipilih untuk meyertai misi ke ISS. Diperingkat akhir dua orang yang benar-benar layak akan dihantar ke pusat latihan angkasa lepas di Rusia yang mana hanya seorang sahaja yang akan dipilih secara rasmi untuk misi tersebut. Calon yang layak adalah dalam latihan akhir ini adalah Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr Faiz Khaleed.

Semasa artikel ini ditulis satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan bahawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih secara rasmi sebagai angkasawan Malaysia yang pertama dalam misi ke ISS untuk kali ini . Kapten Dr Faiz Khaleed pula mungkin ditawarkan untuk misi yang selanjutnya yang dijangka akan di buat pada tahun 2008/2009. Walaubagaimana pertukaran mungkin boleh berlaku empat jam sebelum berlepas.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersama dua orang angkasawan lain iaitu dari Amerika syarikat dan dari Russia sendiri akan berlepas ke angkasa dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome pada pukul 7.21 petang (waktu tempatan) dan 9.21 malam (waktu Malaysia). Ketiga-tiga angkasawan ini akan berada di ISS selama 10 hari. Di sana angkasawan ini akan menjalan beberapa ujikaji yang telah dirancang. Bagi Dr Sheikh Muszaphar Shukor dalam masa yang sama akan menjalankan ibadah puasa di angkasa lepas.

Sebagai rakyat Malaysia saya sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana bukan mudah untuk mendapat peluang ini. Peluang ini membolehkan negara kita tergolong dalam kumpulan Elit 37 negara yang melibatkan diri dalam penjelajahan angkasa lepas. Pencapaian ini juga mendorong anak-anak muda dan generasi akan datang mengorak langkah lebih jauh , mendarat ke bulan misalnya atau ke planet Marikh sekalipun kerana ini bukan satu perkara yang mustahil, InsyaAllah. Saya juga berharap janganlah ada pihak mejadikan misi ini sebagai satu bahan isu politik… kerana terlalu banyak berpolitik kita tak akan ke mana-mana

Marilah kita berdoa agar misi yang besar ini berjaya dan angkasawan kita selamat menjalankan tugas yang diamanahkan dan selamat kembali ke bumi. InsyaAllah

Jangan lupa untuk menyaksikan siaran langsung Pelancaran roket dari tapak pelancaran Baikaonur Cosmodrome yang akan disiarkan secara lansung oleh TV tempatan. Untuk coverage yang lebih luas ikuti di rangkaian 588 (Astro)

Update: 10:14 pm

(Pelancaran Misi ke 16 Soyuz TMA-11 pada pukul 9.23 waktu Malaysia)

Tahniah Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Malaysia kerana telah berjaya dalam pelancaran kapal angkasa Soyuz TMA-11 pada tepat pukul 9.23 waktu malaysia (7.23 waktu Baikaonur Cosmodrome). Pelancaran roket Soyuz TMA-11 ke orbit berjalan lancar dan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai ke orbit.

Mereka akan mengambil masa lebih kurang 2 hari di orbit sebelum tiba di ISS. Masa 2 hari di ambil untuk “catchup” kapal ISS yang juga bergerak mengelilingi bumi. Tahniah Malaysia..tahniah buat semua yang terlibat…more update..stay tune

Link:

Program Angkasawan Negara

International Space Station (ISS)

Wiki : Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Wiki: Kapten Dr Faiz Khaleed

Tapak Pelancaran Baikonur Cosmodrome

  • Share/Bookmark

Iklan Proton yang seram tapi kelakar

Kelakar jugak tengok kempen iklan keselamatan jalan raya Proton yang baru… Bagi saya kreatif jugak iklan ini dibuat. Moral iklan ini supaya kita sentiasa memakai tali pinggang keledar walaupun berada di tempat duduk belakang…dan sentiasa bersedia terhadap segala kemungkinan semasa memandu.

klik butang play untuk menonton iklan proton:

Amaran: Jangan tengok video ni kalau balik raya nanti drive seorang diri…..hehehehhe…just lawak :)

  • Share/Bookmark

Mencari Lailatul Qadar

LAILATUL qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam lailatul qadar.

Tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatul qadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama lailatul syaraf bermaksud malam kemuliaan dan lailatul tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya lailatul qadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari lailatul qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh”.

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: Carilah dengan segala upaya kamu malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam akhir bulan Ramadan.

Jelas dari kedua hadis tersebut bahawa lailatul qadar itu hanya berlaku pada satu malam saja dari bulan Ramadan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh lailatul qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:

* Allah menyembunyikan lailatul qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.

* Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.

* Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.

* Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)

* Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa jua bentuk maksiat.

* Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.

* Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

* Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimana pun berkaitan dengan lailatul qadar, para ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah:

* Orang yang berkesempatan melihat malam al Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.

* Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.

* Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.

* Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu.

Artikel ditulis oleh WAN MARZUKi WAN RAMLI ( Guru agama Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.)

Sumber asal di Utusan Malaysia Online

  • Share/Bookmark
Générateur de miniatures